GEOGRAFI TINGKATAN 2 (Nota 10)

BAB 4: CUACA DAN IKLIM DI MALAYSIA

Fenomena El Nino

ARKIB : 29/06/2014

Ancaman El Nino

OLEH AMIZUL TUNIZAR
AHMAD TERMIZI


SEKIRANYA tidak bersedia, El Nino kali ini mungkin boleh menyebabkan seluruh negara mengalami krisis bekalan air.

FENOMENA El Nino dijangka melanda dunia termasuk Malaysia pada penghujung bulan ini. Ditambah faktor pemanasan global, serangan El Nino kali ini bakal menjadikan 2014 atau 2015 sebagai tahun paling panas dalam rekod.

Walaupun El Nino belum lagi melanda, tanda-tanda awal sudah kelihatan dengan suhu panas, taburan hujan yang kurang dan keadaan udara berjerebu, memberikan petunjuk kepada kita bahawa musim kering sudah bermula.

Mengikut rekod, El Nino telah melanda negara sebanyak 12 kali sejak 1951 – 1952 dan kejadian yang paling teruk ialah pada 1997 – 1998 dengan suhu tertinggi, iaitu 40.1°C direkodkan di Stesen Meteorologi Chuping pada 9 April 1998.

Pada tahun itu, sebahagian besar kawasan di negara ini mengalami cuaca kering dan panas serta berjerebu. Isu yang paling mendapat liputan pada masa itu ialah krisis bekalan air di Lembah Klang. Di peringkat global pula, El Nino pada tahun tersebut menyebabkan kerugian dianggarkan berjumlah RM112.6 bilion dan angka korban melebihi 23,000 orang.

Apakah El Nino?
Secara ringkasnya, El Nino merupakan fenomena pemanasan suhu permukaan air laut yang biasanya berlaku dalam tempoh enam hingga 18 bulan setiap dua hingga tujuh tahun di timur Lautan Pasifik berhampiran Peru. Namun, fenomena itu menyebabkan rantaian perubahan iklim di seluruh dunia.

Kejadian semula jadi itu berlaku apabila angin yang biasa bertiup dari kawasan Lautan Pasifik di benua Amerika Selatan menuju ke kawasan Australia dan negara- negara Asia Tenggara seperti Malaysia, Indonesia dan Filipina. Keadaan itu menyebabkan berlaku cuaca panas dan kemarau serta kadar hujan yang sedikit di negara-negara berkenaan.

Pada masa sama, kawasan timur Lautan Pasifik yang merangkumi negara-negara Amerika Selatan seperti Peru, Chile, Argentina, Bolivia, Colombia, Ecuador dan Brazil akan menerima angin kencang yang mengakibatkan hujan lebat, ribut petir serta banjir besar.

Kesan El Nino
* Kesihatan
Perubahan suhu dan cuaca boleh mempengaruhi populasi dan kelakuan vektor nyamuk, sekali gus meningkatkan potensi jangkitan. Hal ini kerana keadaan cuaca yang lebih panas akan menyebabkan vektor nyamuk untuk hidup dan matang dengan lebih cepat serta memendekkan tempoh pengeraman virus.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam, kesan pemanasan global turut meningkatkan kewujudan nyamuk di kawasan baharu, sekali gus menambah potensi epidemik sebanyak 31 hingga 47 peratus untuk denggi dan antara 12 hingga 27 peratus untuk malaria.

Selain demam, penyakit lain seperti wabak taun, untut dan malaria boleh merebak disebabkan peningkatan suhu. Penyakit-penyakit ini sering menular ketika musim panas.

Di samping itu, jerebu yang menyebabkan pencemaran udara boleh mengundang penyakit berkaitan pernafasan seperti asma, radang paru-paru, sakit tekak, sakit mata, batuk dan selsema. Semasa jerebu teruk melanda rantau ini pada 1997 – 1998, dilaporkan hampir 20 juta orang mengalami pernafasan teruk.

* Pencemaran udara
Semasa kejadian El Nino pada 1997 – 1998, cuaca panas dan kering yang melampau telah menyebabkan kebakaran hutan hampir 10 juta hektar di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia.

Kebakaran hutan di Indonesia turut mengundang pencemaran udara di negara- negara berjiran, terutamanya Malaysia, Singapura dan Thailand. Dalam keadaan musim kering dengan taburan hujan yang sedikit atau tidak ada langsung, pencemaran tersebut akan menjadi lebih meruncing sehingga menyumbang kepada masalah jerebu.

* Krisis bekalan air
Musim kering akan menyebabkan penyusutan di kawasan tadahan air seperti empangan, tasik dan kolam disebabkan kadar sejatan yang tinggi dan tidak ada hujan. Pengalaman semasa El Nino melanda pada 1997 – 1998 sudah cukup memeritkan, terutamanya bagi penduduk di Lembah Klang apabila kira-kira 1.8 juta orang terpaksa berhadapan dengan catuan air selama enam bulan.

Pada tahun ini, penduduk di Lembah Klang termasuk Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya terpaksa berhadapan catuan air berjadual secara berperingkat-peringkat kira-kira dua bulan bermula Mac hingga 30 April lalu akibat kemorosotan paras air di empangan-empangan utama. Beberapa kawasan lain di Negeri Sembilan dan Johor turut mengalami masalah serupa akibat musim panas.

Bagi menghadapi El Nino, semua rakyat perlu bekerjasama dengan menjimatkan penggunaan air dan tidak menggunakan air untuk aktiviti yang tidak perlu. Mereka juga perlu bersedia dengan membuat tadahan air bermula dari sekarang.

* Aktiviti luar dan ekonomi
Apabila El Nino melanda, kegiatan harian manusia terjejas teruk dan secara tidak langsung memberikan kesan kepada ekonomi. Ketika kejadian El Nino pada 1997 – 1998, negara-negara di Asia Tenggara dilaporkan mengalami kerugian melebihi RM34 bilion.

Misalnya, jerebu serius yang berpunca daripada El Nino menyebabkan kualiti udara tidak sihat dan jarak penglihatan terhad. Kesannya, aktiviti luar perlu dikurangkan, sekolah ditutup, kedatangan pelancong terjejas serta sektor pengangkutan termasuk penerbangan tergendala. Secara tidak langsung, perniagaan turut menerima impak.

Dari segi pertanian pula, keadaan kemarau akan menjejaskan pengeluaran padi, buah-buahan serta sayur-sayuran yang amat bergantung pada air. Malah, industri kelapa sawit di rantau ini boleh terjejas sehingga 15 peratus sekiranya El Nino berpanjangan. Industri berkaitan seperti bahan api bio, makanan, kosmetik sabun yang menggunakan minyak kelapa sawit dalam proses pengeluaran turut akan menerima tempias.

El Nino juga boleh menjejaskan ekosistem marin dengan memusnahkan plankton yang merupakan makanan utama kepada hidupan laut. Hal ini sudah tentu akan menjejaskan industri perikanan dan sumber protein utama kita. Apabila hasil berkurangan, sudah tentu harga ikan di pasaran juga meningkat.

Selain itu, industri yang memerlukan air sebagai bahan dalam proses pengeluaran produk seperti makanan dan minuman juga bakal menerima kesan besar sekiranya berlaku catuan bekalan air kerana kemarau berpanjangan.

(Sumber: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20140629/ke_01/Ancaman-El-Nino#ixzz4WvKo8opN)

Kesan El Nino



Kemarau



Kemerosotan paras air di empangan



Kekeringan sawah padi



Kelunturan karang, iaitu perubahan warna pada jaringan karang daripada warna kecoklat-coklatan atau kehijau-hijauan menjadi warna putih pucat



Meningkatkan kewujudan nyamuk serta boleh meningkatkan potensi penyakit denggi dan penyakit malaria