GEOGRAFI TINGKATAN 2 (Nota 18)

BAB 6: TELEKOMUNIKASI DI MALAYSIA

Kemudahan Infrastruktur Telekomunikasi


  1. Koridor Raya Multimedia (MSC)

    Kemudahan infrastruktur telekomunikasi merupakan salah satu kelebihan daya saingan MSC. Multimedia Super Corridor (MSC) merupakan satu projek mega yang amat berkait rapat dengan perkembangan telekomunikasi di Malaysia. Memandangkan MSC dibangunkan di tempat yang baharu yang sebelum ini merupakan kawasan luar bandar maka soal menggantikan infrastruktur telekomunikasi yang lama tidak timbul. Dengan ini, MSC dapat secara terus menggunakan teknologi terkini untuk perhubungan rangkaian.

    Keluasan kawasan MSC ialah 4 500 km persegi bermula daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan berakhir hingga ke KLCC.

    Wilayah Persekutuan Putrajaya telah menjadi Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan baharu di mana konsep kerajaan elektronik diperkenalkan. Sebagai sebuah bandar raya bestari, Putrajaya akan menawarkan kemudahan perkhidmatan telekomunikasi yang canggih dan sesuai dengan kedudukannya di dalam lingkungan Koridor Raya Multimedia (MSC). Perkhidmatan telekomunikasi ini merangkumi perkhidmatan-perkhidmatan seperti telefon, pengaliran data, televisyen dan video kabel, sistem penyiaran radio dan televisyen kerajaan dan swasta, sistem kamera pengawasan (CCTV) dan jaringan data khusus. Pembangunan perkhidmatan telekomunikasi ini menyediakan penyaluran maklumat untuk memenuhi keperluan pengguna yang berbagai-bagai di Putrajaya. Justeru itu, jaringan gentian optik digital berkeupayaan 2.5 hingga 10 gigabit digunakan dalam penyaluran maklumat untuk bandar raya ini.

    Sementara itu, ibu sawat Telekom yang dibina di Presint Kerajaan akan dihubungkan dengan ibu sawat di Bangi untuk liputan bagi kawasan sekitar Putrajaya. Untuk liputan yang lebih menyeluruh ibu sawat Telekom ini dihubungkan dengan ibu sawat di Kajang, manakala untuk liputan antarabangsa, jaringan ini dihubungkan dengan ibu sawat di Kelana Jaya dan Raja Chulan. Jaringan penyaluran maklumat ini dikawal selia dengan menggunakan sistem berkomputer. Hal ini bertujuan memberikan perkhidmatan telekomunikasi yang terbaik dengan mengurangkan unsur-unsur gangguan dan penyaluran maklumat terputus.


  2. Gentian Optik

    Pelaburan yang besar telah dibuat untuk menyediakan infrastruktur komunikasi yang mengandungi teknologi gentian optik, satelit dan selular bagi menyokong pembangunan telekomunikasi dalam negara. Rangkaian gentian optik yang meluas telah dipasang, iaitu 62 600 kilometer yang menghubungkan negeri dan bandar utama di seluruh negara. Rangkaian gentian optik membolehkan jalur lebar yang berkeupayaan tinggi menghantar pelbagai bentuk trafik seperti data, suara dan video. Berkaitan dengan teknologi satelit, Malaysia telah mempunyai empat laluan satelit, iaitu di Kuantan, Labuan, Melaka dan Sematan yang menyediakan hubungan trafik ke negara lain dalam lingkungan lautan Hindi dan Pasifik.

    Bagi MSC, rangkaian tulang belakang gentian optik yang merangkumi 360 kilometer telah siap dibina. Pembinaan tulang belakang tersebut juga melibatkan pemasangan suis Mod Pertukaran Asinkroni (ATM) di Cyberjaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Bukit Jalil bagi menyokong penggunaan multimedia jalur lebar dan capaian Internet berkelajuan tinggi. Infrastruktur jalur lebar MSC terdiri daripada empat jalur utama di mana setiap satu mempunyai lebarjalur antara 2.5 ke 10 gigabit sesaat (Gbps).


  3. Internet

    Internet dan teknologi tanpa wayar merupakan dua teknologi terpantas yang dibangunkan dalam bidang telekomunikasi. Enam ISP telah diberikan lesen tetapi hanya tiga yang telah mula menyediakan perkhidmatan Internet kepada pelanggan. Bagi melengkapkan ISP, Pembekal Khidmat Capaian (ASP) juga turut diberikan lesen. Terdapat 43 ASP di seluruh negara yang kebanyakannya beroperasi di Lembah Klang dan Pulau Pinang. Dengan kemajuan teknologi tanpa wayar, peranti capaian jenis baharu yang berpatutan harganya telah tersedia untuk capaian Internet. Peralatan ini termasuklah peranti Aplikasi Protokol Tanpa Wayar (WAP) seperti telefon mudah alih, peranti pegang dan petak kotak.

    Di Malaysia, Internet kini menjadi alat berkomunikasi terpenting untuk bertukar emel, melayari World Wide Wide (WWW), menghantar, mewujud dan membaca mesej- mesej dalam kumpulan perbincangan ataupun papan buletin (BBS), dan yang paling digemari, bersembang di bilik chatting. Namun, di negara-negara maju, nampaknya mereka lebih suka membeli-belah menggunakan teknologi ini. Tidak dinafikan juga kebanyakan pengguna Internet menggunakan komputer peribadi untuk mengakses internet, tetapi kini Internet boleh diakses menggunakan televisyen dengan penambahan alatan tertentu tanpa perlu penggunanya memiliki sebuah komputer, dan inilah sebenarnya yang dinamakan teknologi.

    Untuk perkhidmatan yang lebih komersial, Internet sebenarnya disediakan oleh beribu Penyedia Khidmat Internet atau Internet Service Provider (ISP) yang menyediakan perkhimatan mengakses internet di seluruh dunia. Ada yang terdiri daripada syarikat telekomunikasi, syarikat surat khabar dan ada juga perkhidmatan yang ditawarkan oleh syarikat tv kabel. Di negara kita ada empat Penyedia Khidmat Internet (ISP), bermula dengan perkhidmatan Jaring yang disediakan oleh MIMOS Berhad, TM Net oleh Telekom, Maxis serta TimeDotCom.


  4. Wireless Application Protokol

    Secara asasnya WAP merupakan teknologi yang membolehkan pengguna mencapai aplikasi interaktif seperti melayari Internet dari telefon selular. Melalui WAP, kandungan yang disedia khusus bagi aplikasi ini akan dapat dilayari walaupun dengan menggunakan input melalui papan kekunci kecil dan monitor terhad di telefon selular. WAP juga dapat memberikan kebolehan lebih dari sekadar perkhidmatan pesanan pendek atau Short Messaging System (SMS) seperti mana yang ditawarkan oleh telefon selular digital sekarang ini. Jika SMS membenarkan pesanan teks statik sepanjang 160 aksara sahaja, aplikasi WAP pula boleh disediakan dalam bentuk grafik, teks dan bersifat interaktif.


  5. Perkhidmatan Telefon Protokol Internet (IP telephony) atau VoIP (voice over IP) faks melalui protokol Internet

    Protokol Internet (IP) hanya merupakan salah satu daripada paras protokol dalam suatu rangkaian. Dalam bahasa paling mudah, apa-apa sahaja yang dihubungkan dengan IP bermaksud melaksanakan komunikasi melalui Internet. IP merupakan teknologi yang baik untuk komunikasi data. Sekarang ini banyak syarikat di negara maju, tidak ketinggalan di Malaysia, sedang membina rangkaian IP dengan matlamat untuk menawarkan perkhidmatan suara dan data bersepadu. IP adalah satu paras prorokol dalam rangkaian.

    Bagaimana komunikasi melalui IP terjadi? Secara teorinya, suara dimampatkan dan dipindahkan dalam bentuk paket menerusi Internet, seperti mana kandungan e-mel dipindahkan. Paket IP pergi dan kembali dalam Internet, dan membolehkan pengguna bercakap dan mendengar pada masa yang sama. Dengan proses pemampatan suara menjadi paket, syarikat penyedia perkhidmatan IP boleh mengendalikan jauh lebih banyak panggilan VoIP dalam satu masa berbanding dengan panggilan telefon.

    Terkini dalam pasaran ialah perkhidmatan pra-bayar kad Flexicall JARING (www.flexicall.net). Perkhidmatan ini menggunakan teknologi VoIP dengan menggunakan rangkaian tulang belakang optik fiber Internet yang dipunyai oleh JARING. Para pengguna boleh menggunakan telefon PSTN di rumah dan dari mana- mana pondok telefon awam. Ia sememangnya murah untuk membuat panggilan jauh, khususnya panggilan ke sebarang laut.


  6. Bidang Pendidikan di Malaysia

    Pada tahun 1980-an, pendidikan komputer diperkenalkan di sekolah menengah terpilih. Kini boleh dikatakan di setiap sekolah mempunyai makmal komputer untuk tujuan pembelajaran. Sejajar dengan hasrat kerajaan untuk melihat ramai anak Malaysia yang celik IT. Kerajaan juga telah menubuhkan sekolah bestari, iaitu sebuah sekolah yang menggunakan aplikasi komputer multimedia dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

    Inisiatif sekolah bestari telah diperkenalkan bertujuan melahirkan generasi baharu Malaysia yang celik ICT, kreatif dan inovatif serta berupaya membawa ekonomi kepada Era Maklumat. Projek ini yang telah dilaksanakan sebagai projek perintis dalam tempoh RMKe-7 melibatkan 90 sekolah yang terdiri daripada sembilan sekolah baharu yang sedang dalam pembinaaan dan 81 sekolah sedia ada yang dinaikkan taraf. Sekolah-sekolah ini telah dilengkapkan dengan peralatan multimedia/komputer yang terkini dan dibekalkan dengan bahan pengajaran bagi empat mata pelajaran, iaitu bahasa Malaysia, bahasa Inggeris, sains dan matematik.

    Bahan ini bukan sahaja menambahkan kurikulum yang berasaskan rangkaian tetapi juga membolehkan pelajar yang mempunyai keupayaan berbeza untuk memperolehi kejayaan mengikut kemampuan masing-masing. Sistem Pengurusan Sekolah Bestari membolehkan pihak pentadbir sekolah menguruskan dengan lebih cekap dan berkesan sumber yang ada serta mematuhi proses yang diperlukan untuk membantu fungsi pembelajaran dan pengajaran untuk sekolah-sekolah tersebut. Sebagai pelengkap kepada sekolah bestari, Rangkaian Sekolah Global telah juga diperkenal untuk membolehkan sekolah di Malaysia dihubungkan secara elektronik dengan sekolah yang dipilih di serata dunia.


  7. Telesidang dan Videosidang

    Telesidang menggunakan peralatan telefon khas untuk membenarkan seorang atau ramai orang berbincang dengan sekumpulan manusia yang berada di lokasi berjauhan. Videosidang membenarkan kumpulan yang berada di lokasi geografik yang berbeza melihat dan juga mendengar antara satu sama lain. Teknologi ini menggunakan sambungan telefon khas untuk penghantaran suara dan hubungan satelit untuk penghantaran video.

    Kebanyakan organisasi di Malaysia terutamanya syarikat-syarikat swasta telah menggunakan telesidang video satu hala dan telesidang audio dua hala. Contohnya, sesetengah syarikat menghantar pelatih ke kolej dan universiti yang dibekalkan dengan keupayaan komunikasi seperti yng disebutkan tadi.

    Penuntut yang bakal menerima ijazah dapat melihat keadaan dalaman syarikat manakal wakil syarikat tersebut dapat menjawab soalan penuntut dan menerangkan apa yang sedang ditunjukkan. Ini adalah salah satu contoh penghantaran video satu hala. Penghantaran video satu hala dapat memanfaatkan peralatan bergerak. Pada masa kini video dua hala hanya dapat dilaksanakan dalam bilik persidangan khas yang telah disetkan.