GEOGRAFI TINGKATAN 2 (Nota 23)

BAB 7: KEPELBAGAIAN IKLIM DAN PENGARUHNYA TERHADAP KEGIATAN MANUSIA DI ASIA

Kawasan Tundra di Siberia

Tundra terletak di atas hemisfera utara di Eropah, Asia dan Amerika Utara. Kawasan tundra meliputi 20 peratus daripada permukaan bumi. Kawasan Tundra di Siberia terletak di bahagian timur laut Rusia antara latitud 60°U hingga 80°U dengan longitud 70°T hingga 180°T .

Di kawasan tundra, musim sejuk adalah panjang dan musim panas adalah singkat. Pada musim sejuk, suhu biasanya di bawah takat beku dan tanah diliputi salji dan ais. Musim panas adalah berpaya akibat lopak yang terhasil daripada salji dan ais yang mencair. Sungai Lena, Ob dan Yenisei adalah sungai-sungai yang mengalir ke kawasan Tundra di Siberia.

Kawasan tundra terletak 1 000 hingga 4 000 kaki di atas aras laut. Di kawasan tundra juga terdapat dua jenis tanah. Lapisan pertama dipanggil sebagai lapisan aktif kerana lapisan ini membeku dan mencair. Lapisan ini adalah sedalam 10 inci hingga 3 kaki. Lapisan kedua pula dikenal sebagai ibun abadi. Ibun abadi membeku sepanjang musim sejuk dan musim panas. Ibun abadi di Rusia adalah sedalam 1 968 kaki.

Iklim di kawasan Tundra di Siberia pada musim sejuk adalah sangat sejuk. Suhu boleh mencapai -40°C. Musim panas adalah sejuk dengan suhu 3°C darjah hingga 12°C. Kerpasan adalah hanya dari 6 hingga 10 inci setiap tahun termasuk salji yang telah cair.

Kawasan tundra adalah sangat berangin, iaitu dari 30 hingga 60 batu sejam. Kesejukan angin di kawasan Tundra adalah sangat teruk hingga menyebabkan kulit yang terdedah membeku dalam masa 30 saat.

Tumbuh-tumbuhan di kawasan Tundra di Siberia termasuklah fungus, rumput-rampai, pokok-pokok renek yang tumbuh secara rendah pada tanah untuk melindungi diri daripada angin dan kesejukan. Tumbuhan ini hidup secara berkumpulan untuk melindungi diri daripada kesejukan. Akar-akar tumbuhan menyebar pada permukaan untuk menyerap air. Tumbuh-tumbuhan ini tidak tumbuh secara mendalam kerana tanah yang sentiasa beku dan cair boleh memecahkan akar-akar. Salah satu daripada penyesuaian tumbuhan ini dalam iklim sejuk adalah bulu-bulu kecil yang ada pada daun-daun untuk menyimpan kelembapan.

Haiwan-haiwan Tundra termasuklah ikan, burung-burung, pelbagai jenis mamalia dan serangga. Haiwan-haiwan hidup dengan lemak berlebihan dan bulu yang tebal untuk memastikan mereka sentiasa hangat. Kebanyakan haiwan adalah rendah dengan tangan, kaki, ekor dan telinga kecil untuk mengelakkan kehilangan haba. Terdapat ratusan jenis burung yang hanya menduduki kawasan ini pada musim panas sahaja.


Orang Yakut tinggal di kawasan timur laut di Siberia. Mereka memburu dan menjerat hidupan serta memancing ikan untuk kehidupan.

Bekas tayar daripada lori telah menyebabkan ibun abadi cair and sesetengah kawasan tersebut telah menjadi tasik. Terdapat juga pencemaran yang berlaku akibat perlombongan. Semakin banyak orang yang berpindah ke kawasan Tundra dan hal ini menyebabkan sampah sarap bertambah. Oleh sebab cuaca yang sejuk, sampah sarap tidak boleh reput. Ibun abadi yang keras menyebabkan mereka tidak boleh menanam sampah sarap. Dengan kenaikan suhu yang disebabkan oleh pemanasan global, ibun abadi akan mula cair dan menyebabkan banjir di kawasan Tundra. Hal ini mampu memusnahkan ekosistem yang terbesar di dunia.

Di kawasan Tundra, haiwan-haiwan diburu secara berlebihan menggunakan senjata api. Kebanyakan haiwan ini diburu hingga mengalami kepupusan. Kini, terdapat had untuk haiwan yang boleh diburu dalam setahun.

Di Rusia, terdapat kawasan yang telah diwartakan sebagai taman negara. Taman-taman ni akan melindungi hidupan liar dan kawasan Tundra. Kini, terdapat beberapa cara untuk membina lebuh raya di sepanjang kawasan Tundra tanpa merosakkan ibun abadi.

(Sumber: Diubah suai daripada http://www.blueplanetbiomes.org/siberian_tundra.htm)