GEOGRAFI TINGKATAN 2 (Nota 26)

BAB 8: JENIS DAN KEMAJUAN PENGANGKUTAN DI ASIA

Pelabuhan Hong Kong


Pelabuhan Hong Kong yang terletak di Laut China Selatan ialah pelabuhan laut dalam yang didominasi oleh perdagangan barang kilang yang dikontenakan, barangan mentah dan perkhidmatan feri penumpang. Perlindungan semula jadi dan perairan yang dalam di Pelabuhan Victoria memberikan keadaan ideal untuk penghimpitan dan pengendalian semua jenis kapal di Pelabuhan Hong Kong dan menjadikannya kunci utama pembangunan ekonomi wilayah Hong Kong di Republik Rakyat China. Pelabuhan ini merupakan salah satu daripada pelabuhan tersibuk di dunia dalam tiga kategori, iaitu pergerakan perkapalan, pengendalian kargo dan pengendalian penumpang.

Majlis Pembangunan Pelabuhan Hong Kong (The Hong Kong Port Development Council) menasihati kerajaan dalam hal berkaitan perancangan dan pembangunan pelabuhan, dan mempromosikan Hong Kong sebagai hab serantau dan pelabuhan kontena terunggul di dunia. Sementara itu, Majlis Industri Maritim Hong Kong (Hong Kong Maritime Industry Council) menasihati kerajaan tentang pendekatan untuk memajukan lagi industri maritim Hong Kong dan untuk mempromosikan kedudukan Hong Kong sebagai pusat maritim antarabangsa. Kedua-dua majlis dipengerusikan oleh Setiausaha Buruh dan Pembangunan Ekonomi (Secretary for Economic Development and Labour). Jabatan Marin (Marine Department) bertanggungjawab memastikan kemasukan kapal ke pelabuhan, operasi di pelabuhan dan pelayaran keluar kapal berjalan dengan lancar dan selamat. Perhatian juga diberikan kepada piawai keselamatan untuk semua kelas dan jenis kapal dari kapal tangki minyak terbesar kepada sampan-sampan penumpang. Ia juga menyelenggara alat bantuan pengemudian dan boya untuk kapal laut, menguruskan dua terminal feri rentas sempadan dan mentadbir lapan kawasan pengendalian kargo awam.


Hong Kong ialah antara pelabuhan hab yang menghubungkan perdagangan di rantau Asia Tenggara dan Asia Timur, dan menjadi pintu masuk ekonomi utama ke pedalaman China. Hong Kong telah memecah rekod pada 2007 dengan jumlah pengendalian kontena sebanyak 23.9 juta TEU, mengekalkan statusnya sebagai pelabuhan tebesar di selatan China dan antara pelabuhan tersibuk di dunia. Dalam 456 000 kapal berlabuh dan belayar keluar dari Hong Kong pada tahun itu, membawa kargo dengan jumlah berat 243 juta tan dan lebih kurang 25 juta penumpang.

Purata masa pengendalian untuk kapal kontena di Hong Kong ialah 10 jam. Untuk kapal konvensional yang dikendalikan di tengah laut di boya atau tempat berlabuh luar pelabuhan, purata masa pengendalian ialah 42 jam dan 52 jam.

Pelabuhan ini pernah menjadi pelabuhan tersibuk di dunia untuk beberapa tahun, dari tahun 1987 hingga 1989, dari 1992 hingga 1997, dan dari 1992 hingga 2004, sebelum kedudukannya diambil alih oleh Pelabuhan Singapura semenjak tahun 2005. Pada suku pertama 2007, Pelabuhan Singapura pula diatasi buat pertama kalinya oleh Pelabuhan Shanghai.

Terdapat sembilan terminal kontena yang teletak di Kwai Chung, Stonecutters Island dan Tsing Yi (yang terakhir siap pada 2004). Operasi kontena yang lebih kecil juga dijalankan di terminal perdagangan sungai di Tuen Mun dan pengendalian di tengah laut.

Terminal kontena Kwai Tsing (dikenal sebagai terminal kontena Kwai Chung sebelum terminal kontena 9 dibuka di Pulau Tsing Yi), terletak di bahagian barat laut pelabuhan, mempunyai sembilan terminal kontena dengan 24 himpitan sepanjang 8,500 meter. Luas keseluruhan kawasan terminal ini ialah 2.7 km2 termasuk laman kontena dan stesen muatan kontena. Kesemua sembilan terminal ini mempunyai jumlah kapasiti pengendalian melebihi 18 juta TEU, lebih kurang 60% daripada jumlah trafik kontena di Hong Kong.