GEOGRAFI TINGKATAN 2 (Nota 32)

BAB 9: PEMANASAN GLOBAL

Punca Pemanasan Global

Pemanasan global merupakan satu fenomena pemerangkapan gas yang dikenal sebagai gas rumah hijau. Gas-gas ini menghalang dan memerangkap haba bumi daripada terbebas keluar ke angkasa. Sifat gas rumah hijau ialah membenarkan bahangan matahari menembusinya tetapi menghalang pembebasan semula bahangan bumi ke atmosfera. Contoh gas rumah hijau ialah karbon dioksida, karbon monoksida, kloroflorokarbon, metana dan nitrogen oksida.


Aktiviti Manusia yang Menyebabkan Pemanasan Global

  1. Perindustrian


    Aktiviti perindustrian merupakan punca utama kepada fenomena pemanasan global. Pembakaran bahan api fosil seperti gas dan arang batu bagi menggerakkan mesin dan jentera telah mengeluarkan banyak gas rumah hijau, terutamanya gas karbon dioksida. Contoh industri yang banyak membakar bahan api fosil ialah industri pengeluaran simen, pengeluaran besi, pengeluaran kain, pengeluaran makanan, pengeluaran bahan-bahan elektrik dan elektronik serta industri pengeluaran bahan- bahan binaan. Semakin banyak gas karbon dioksida dihasilkan, semakin banyak haba yang terperangkap oleh lapisan gas lalu meningkatkan suhu udara secara global.


  2. PENJANAAN TENAGA ELEKTRIK


    Penghasilan tenaga elektrik di pusat penjanaan tenaga elektrik yang menggunakan bahan api fosil juga telah menyebabkan pelepasan gas karbon dioksida yang mendadak. Kebanyakan negara di dunia termasuk Malaysia menggunakan bahan api fosil untuk penjanaan tenaga elektrik. Contohnya, hampir 80% penjanaan tenaga elektrik di Malaysia adalah melalui pembakaran bahan api fosil dan 20% melalui penjanaan hidroelektrik.


  3. PENGANGKUTAN



    Kenderaan bermotor kini merupakan pengangkutan utama bagi manusia memudahkan pergerakan mereka di bumi ini. Penggunaan kenderaan yang menggunakan minyak sebagai bahan bakar utama bagi menggerakkan enjin kenderaan, khususnya minyak tanpa plumbum telah banyak membebaskan gas karbon dioksida dan gas karbon monoksida. Kereta api stim yang menggunakan batu arang sebagai bahan bakar turut membebaskan gas pencemar ke atmosfera.


  4. PEMBAKARAN HUTAN


    Kegiatan pembakaran hutan secara besar-besaran dan berleluasa untuk membersihkan kawasan hutan bagi menjalankan aktiviti pertanian, petempatan atau jaringan pengangkutan dan perhubungan telah menyumbang kepada pemanasan global. Pembakaran hutan telah menyebabkan imbangan kandungan oksigen dengan karbon dioksida tidak seimbang. Lebihan karbon dioksida terjadi dan berlakulah pemanasan global. Asap yang terbebas ke angkasa daripada pembakaran hutan juga mengandungi banyak gas karbon dioksida. Contohnya, pembakaran hutan di Sumatera Selatan dan Riau, Indonesia.


  5. PERTANIAN DAN PENTERNAKAN


    Aktiviti pertanian menggunakan racun serangga dan baja kimia secara berlebihan. Penggunaan racun serangga dan baja kimia secara berlebihan ini telah mengeluarkan banyak gas rumah hijau, terutamanya gas metana. Kegiatan perternakan juga menyebabkan berlakunya pemanasan global. Hasil buangan najis haiwan ternakan seperti kambing dan lembu telah menghasilkan dan membebaskan banyak gas metana ke angkasa. Contohnya, penternakan lembu di India dan Brazil (penternak utama dan kedua di dunia) telah menghasilkan banyak gas metana.


Faktor Semula Jadi yang Menyebabkan Pemanasan Global

  1. LETUSAN GUNUNG BERAPI


    Letupan gunung berapi banyak mengeluarkan asap dan debu yang mengandungi banyak gas rumah hijau. Contohnya, gas karbon dioksida, gas karbon monoksida, gas sulfur dioksida dan sebagainya telah menyumbang kepada berlakunya pemanasan global. Contoh gunung berapi yang pernah meletus ialah Gunung Tambore di Sumbawa dan Gunung Krakatoa di Selat Sunda.

(Sumber: http://earthcaremalaysia.blogspot.my/)