GEOGRAFI TINGKATAN 2 (Nota 8)

BAB 4: CUACA DAN IKLIM DI MALAYSIA



Iklim Malaysia

Pengenalan

Ciri-ciri iklim Malaysia ialah mempunyai suhu yang seragam, kelembapan yang tinggi dan hujan yang banyak. Angin pada amnya lemah. Malaysia yang terletak di kawasan doldrum khatulistiwa amat jarang sekali mempunyai keadaan langit tidak berawan langsung meski pun pada musim kemarau teruk. Malaysia juga jarang sekali mempunyai satu tempoh beberapa hari dengan tidak ada langsung cahaya matahari kecuali pada musim monsun timur laut.

Angin

Walaupun angin di Malaysia pada amnya lemah dan arahnya berubah-ubah, terdapat perubahan bertempoh dalam corak tiupan angin. Berdasarkan kepada perubahan ini, empat musim boleh dibezakan, iaitu Monsun Timur Laut (Rajah 1), Monsun Barat Daya (Rajah 2) dan dua musim peralihan monsun (Rajah 3) yang lebih pendek.

Monsun Timur Laut

  • Bermula pada bulan November hingga Mac.
  • Angin lazim dari arah timur laut.
  • Kelajuan angin 10 – 30 knot.
  • Musim yang lembap (anggaran 4 – 5 luruan monsun yang boleh menyebabkan banjir).



Monsun Barat Daya

  • Bermula pada bulan Mei hingga September.
  • Angin lazim dari arah barat daya.
  • Kelajuan angin kurang dari 15 knot.
  • Musim yang relatif kering, kecuali Sabah.





Tempoh Peralihan Monsun

  • Bermula pada hujung bulan Mac hingga awal Mei dan Oktober hingga pertengahan November.
  • Angin adalah lemah dari pelbagai arah.
  • Palung Khatulistiwa merentangi Malaysia
  • Kerap berlaku ribut petir pada waktu petang.







Taburan hujan

Semasa Monsun Timur Laut, kawasan yang terdedah seperti kawasan pantai timur Semenanjung Malaysia, kawasan Sarawak Barat dan kawasan pantai timur laut Sabah mengalami beberapa tempoh hujan lebat. Sebaliknya, kawasan pedalaman atau kawasan yang dilindungi banjaran gunung adalah secara relatifnya bebas daripada pengaruh ini.

Bagi negeri-negeri di pantai timur Semenanjung Malaysia, November, Disember dan Januari merupakan bulan yang mempunyai hujan maksimum manakala Jun dan Julai merupakan bulan kering di kebanyakan negeri.

Di kawasan pantai Sarawak, hujan minimum berlaku pada bulan Jun atau Julai manakala kawasan timur laut pantai Sabah hujan minimum berlaku pada bulan April. Kebanyakan hujan diterima pada bulan Disember hingga Mac.

Kawasan pedalaman Sarawak pada amnya mengalami taburan hujan tahunan yang agak sekata. Agak kurang sedikit hujan diterima semasa tempoh Jun hingga Ogos sesuai dengan kejadian angin lazim barat daya.

Di kawasan tengah Sabah di mana keadaannya berbukit dan terlindung oleh banjaran gunung, hujan yang diterima adalah lebih rendah secara relatif berbanding dengan kawasan-kawasan lain serta taburannya agak sekata. Kawasan selatan Sabah mengalami taburan hujan sekata. Februari hingga April adalah tempoh agak kering berbanding bulan-bulan lain.

Cahaya dan sinaran matahari

Sebagai sebuah negara yang dikelilingi laut dan terletak berhampiran khatulistiwa, Malaysia secara semula jadi menerima cahaya matahari yang banyak dan seterusnya sinaran matahari. Bagaimanapun adalah jarang terdapat dalam sepanjang hari tidak diliputi awan langsung walaupun ketika tempoh kemarau. Litupan awan dapat mengurangkan kandungan cahaya matahari dan seterusnya sinaran matahari. Secara purata, Malaysia menerima sebanyak 6 jam cahaya matahari sehari.

Sejatan

Di antara kesemua faktor-faktor yang mempengaruhi kadar sejatan, keadaan berawan dan suhu adalah dua faktor terpenting yang saling berkait. Hari yang berawan bermakna kurangnya cahaya matahari seterusnya kurang sinaran matahari menyebabkan suhu menjadi rendah. Ujian daripada data-data sejatan menunjukkan bahawa bulan-bulan berawan atau hujan mempunyai kadar sejatan yang rendah sementara bulan kering adalah bulan yang mempunyai kadar sejatan yang tinggi. Stesen Senai, salah satu dari stesen yang letaknya di tanah rendah mempunyai purata sejatan terendah dalam sehari, iaitu 2.6 mm dalam bulan November, sementara Kota Kinabalu pula mempunyai purata sejatan tertinggi, iaitu 6.0 mm sehari dalam bulan April.

Bagi kawasan tanah tinggi seperti Cameron Highlands di mana suhu udaranya adalah rendah, kadar sejatannya juga rendah. Sementara kawasan tanah rendah mempunyai purata sejatan tahunan 4 mm hingga 5 mm sehari, Cameron Highlands mempunyai kadar yang hanya lebih kurang 2.5 mm sehari.

(Sumber: http://www.met.gov.my/web/metmalaysia/education/climate/generalclimateofmalaysia)