GEOGRAFI TINGKATAN 3 (Nota 5)
BAB 5: HIDUPAN LIAR DI MALAYSIA
Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok
Pengenalan
Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok telah dicadangkan pada tahun 1961 namun penubuhan pusat yang dibiayai oleh Kerajaan Sabah ini hanya menjadi kenyataan pada tahun 1964. Rizab ini dinamakan sempena nama dua batang sungai yang mengalir ke Teluk Sandakan. Tujuan Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok adalah untuk mengembalikan orang utan yang yatim, cedera atau terbiar kembali semula ke dalam hutan. Banyak orang utan yatim telah berjaya menjalani proses pemulihan dan dilepaskan ke dalam hutan simpan Kabili-Sepilok yang berkeluasan 4,294 hektar, iaitu hutan dara yang kaya dengan hutan hujan tropika dan paya bakau. Proses pemulihan bermula sebaik sahaja orang utan diterima masuk ke pusat ini dengan pemeriksaan kesihatan yang teliti, diikuti dengan kuarantin untuk tempoh masa tertentu bagi menghapuskan penyakit berjangkit. Orang utan muda menghabiskan masa mereka di Taman Asuhan Dalam untuk mempelajari kemahiran penting bagi kehidupan di hutan, contohnya cara mencari makanan, membina sarang dan memanjat. Setelah siap, mereka akan dipindahkan ke Taman Asuhan Luar di mana kebebasan adalah lebih tetapi pergantungan kepada makanan dan sokongan emosi dikurangkan. Akhirnya, kebanyakan orang utan akan dibiar hidup bebas sepenuhnya dan bersepadu dengan populasi orang utan liar di Sepilok. Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok dibuka setiap hari pada 9:00 pagi hingga 12:00 tengahari, 02:00 petang hingga 4:00 petang, pada hari Jumaat, 9.00 pagi hingga 11 pagi dan 2:00 petang hingga 4:00 petang.
Aktiviti Rekreasi
Selain memberi makan kepada orang utan sebanyak dua kali sehari, terdapat pelbagai denai dan aktiviti berjalan kaki dalam hutan simpan; dari hutan hujan tanah tinggi tropika, ke hutan paya bakau tanah rendah di mana hidupan liar dapat dilihat termasuk orang utan dan haiwan nokturnal apabila berjalan kaki pada waktu malam. Aktiviti berjalan kaki berbeza dari 250 m hingga ke 5 km.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut, sila layari laman web di bawah.
(Sumber: https://goo.gl/CdWXyp)