GEOGRAFI TINGKATAN 3 (Nota 6)

BAB 5: HIDUPAN LIAR DI MALAYSIA

Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan

Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) merupakan satu pusat yang unik di Malaysia di mana peranan utamanya adalah untuk menangkap dan memindahkan gajah-gajah liar yang habitatnya telah diterokai oleh pembangunan. Gajah liar ini akan ditempatkan semula ke kawasan-kawasan perlindungan seperti Taman Negara. Sejak 30 tahun yang lalu, pusat ini telah berjaya memindahkan lebih daripada 700 ekor gajah liar. Proses pemindahan ini bertujuan untuk meminimumkan risiko kepupusan spesies ini serta kerosakan harta benda dan kawasan pertanian.

Selain daripada berfungsi sebagai ibu pejabat untuk Unit Gajah, pusat ini juga merupakan tempat perlindungan bagi gajah denak dan gajah liar yang memerlukan rawatan. Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah juga mempunyai matlamat untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan orang ramai tentang ancaman dan tekanan yang dihadapi oleh gajah di Malaysia. Selain itu, pusat konservasi ini menggalakkan kajian dan penyelidikan berkaitan teknik pemindahan semula dan konservasi gajah.

Pusat ini juga giat memberi kesedaran kepada orang ramai tentang kepentingan bagi konservasi hidupan liar dan habitatnya. Para pelawat digalakkan untuk menonton dokumentari berkaitan penangkapan dan pemindahan gajah liar yang dirakamkan dengan kerjasama krew National Geographic. Selain itu, program khas boleh disediakan untuk rombongan sekolah.


Gajah di Pusat Konservasi

Pusat ini mempunyai beberapa ekor gajah yang telah dilatih dan digunakan bagi operasi pemindahan gajah-gajah liar dari kawasan-kawasan bermasalah di seluruh Semenanjung Malaysia. Pusat ini juga memelihara anak-anak gajah yang ditinggalkan oleh kumpulan dan ibu mereka untuk memastikan anak-anak gajah ini terus hidup.

Gajah Asia

Gajah Asia kini dikategorikan sebagai spesies yang kian terancam dengan anggaran yang kurang daripada 1 200 ekor gajah liar di Semenanjung Malaysia. Melindungi gajah Asia secara langsung membantu melindungi ribuan jenis spesies lain yang terdapat dalam lingkungan habitat gajah tersebut. Gajah membuka denai-denai dan menumbangkan pohon-pohon yang menjadi sumber makanan semula jadi yang sangat diperlukan untuk haiwan yang lebih kecil umpama jentolak semula jadi, serta menyebarkan biji-bijian di dalam najisnya. Walau bagaimanapun disebabkan oleh pengecilan habitat, gajah kini terpaksa mencari makanan di kawasan pinggir hutan yang telah bertukar rupa menjadi kawasan perladangan dan penempatan manusia. Pencerobohan ini menyebabkan berlakunya konflik dan kerugian pihak terbabit. Jika gajah tersebut tidak dipindahkan dengan segera, mereka mungkin akan mati sama ada ditembak atau diracun oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

(Sumber: https://goo.gl/6pLguX)