GEOGRAFI TINGKATAN 2 (Video 6)

BAB 9: PEMANASAN GLOBAL

Pemanasan Global

Secara umumnya, pemanasan global dikaitkan dengan pembebasan gas rumah hijau yang memerangkap haba dari sinaran matahari lalu menjadikan bumi semakin panas.

Penyelidikan menunjukkan bahawa bumi akan memanas sebanyak 4.5° Celsius pada tahun 2100 sekiranya tiada langkah-langkah diambil bagi mengurangkan pencemaran.

Pada penghujung tahun 2015, sebanyak 195 buah negara telah berikrar untuk bersama-sama berusaha mengurangkan pembebasan karbon ke atmosfera bumi. Ikrar ini dinamakan Paris Agreement dan Malaysia adalah salah satu negara anggota. Perjanjian ini merupakan kali pertama sebanyak 195 negara dapat duduk bersama serta bersetuju tentang situasi pemanasan global yang mendesak lalu bersetuju untuk mengambil langkah-langkah drastik.

Sebagai sebuah negara sedang membangun, Malaysia berikrar untuk mengurangkan intensiti pengeluaran karbon per kapita sebanyak 45% pada tahun 2030 berbanding dengan kadar pengeluaran pada 2005. Amerika Syarikat, Britain dan Jepun juga berikrar untuk mengambil tindakan lebih drastik bagi mengurangkan pembebasan karbon kerana sebahagian besarnya telah dibebaskan negara-negara ini. Mereka juga harus mengeluarkan belanja serta kepakaran bagi menampung perkembangan teknologi rendah karbon untuk digunakan oleh negara-negara sedang membangun.

Tonton video di bawah untuk maklumat lanjut tentang pemanasan global.

(Sumber: Hak milik penerbit)